mutakhir

Pil gugur janin tak berdaftar

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan dua produk, Misoprostol dan Mifepristone yang digunakan untuk menggugurkan janin adalah produk tidak berdaftar dan tidak dibenarkan untuk dijual di pasaran Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya memandangkan serius isu penjualan produk berkenaan khususnya secara dalam talian.

Beliau berkata, sejak 2016, 16 serbuan yang mensasarkan produk itu dilaksanakan membabitkan rampasan berjumlah RM97,578.

“Serbuan ini dibuat susulan aktiviti risikan forensik siber yang rumit dan rapi, mengikut prosedur dan undang-undang sedia ada.

“Bagi mengelakkan aktiviti penjualan dapat dikesan pihak berkuasa, modus operandi yang digunakan bagi penjualan produk ini adalah menggunakan medium Internet, aplikasi komunikasi Internet dan platform e-dagang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, memandangkan aktiviti penjualan itu semakin serius, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi turut meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia serta media sosial dalam mengambil tindakan menyenarai hitam penjual yang menjual produk itu di platform mereka.

Dr Noor Hisham berkata, bagi penjual yang menjual dalam ‘webpage’ peribadi pula, domain mereka akan disenaraikan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan sekatan.

Menurutnya, sejak 2016 hingga kini, 225 laman sesawang dipantau dan diprofil dan daripada jumlah itu, 98 laman web dihantar kepada SKMM, Facebook, Twitter dan YouTube untuk tindakan penutupan.

“Kami difahamkan sumber pembekalan produk farmaseutikal yang tidak berdaftar itu disyaki diperolehi secara haram di dalam negara dan melalui pembelian secara dalam talian dan penyeludupan dari negara luar.

“Penghantaran pil Misoprostol kepada pembeli pula adalah menggunakan perkhidmatan pos dan kurier.

“Penjual pula didapati menggunakan identiti palsu dan alamat tempat penjualan palsu.

“Kementerian turut menyertai jaringan operasi antarabangsa seperti Interpol dan agensi kesihatan luar negara dalam usaha membanteras aktiviti sedemikian,” katanya.

Katanya, penjualan produk tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika membeli produk kesihatan yang dijual secara dalam talian, tidak mudah terpedaya dengan iklan dan maklumat yang disiarkan serta memastikan produk kesihatan dan kosmetik dibeli mematuhi undang-undang.

Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.gov.my.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 11:28am
d