mutakhir

Tiga cedera ditetak parang

Oleh Norasikin Daineh

TIGA penduduk kampung cedera akibat ditetak lelaki dipercayai menghidap sakit mental dalam kejadian amuk di kebun sawit Kampung Tikolod, Tambunan, Keningau kelmarin.

Dalam kejadian 11.25 pagi itu, tiga penduduk kampung berusia antara 21 hingga 27 tahun masing-masing cedera anggota badan akibat ditetak lelaki berusia 32 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu lelaki berusia 54 tahun.

“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian pengadu berada di kawasan kebunnya sebelum suspek yang membawa parang menemui pengadu dengan mengatakan suspek pemegang rahsia kerajaan Sabah seterusnya mengusir pengadu keluar dari situ.

“Suspek kemudian menetak pagar serta mengancam menetak pengadu jika dia tidak keluar dari kawasan kebun itu.

“Apabila melihat keadaan suspek, pengadu segera menghubungi Balai Polis Tambunan untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, ketika kejadian terdapat beberapa penduduk kampung termasuk mangsa kebetulan lalu di hadapan kebun pengadu yang terletak di tepi jalan raya.

“Penduduk kampung memberi bantuan kepada pengadu memandangkan suspek sedang mengamuk di dalam kebun terbabit.

“Bagaimanapun, suspek bertindak berlari ke arah bukit iaitu tempat tinggalnya dan penduduk kampung segera mengejarnya.

“Apabila penduduk kampung cuba menenangkan keadaan dan memujuk suspek untuk dibawa ke balai polis, berlaku pergelutan sehingga menyebabkan tiga penduduk cedera ditetak,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, suspek berasal dari Indonesia dan menetap di Tambunan lebih 20 tahun lalu.

“Suspek bekerja sebagai penjaga kebun sawit sejak lima tahun lalu dan sudah beberapa kali dihalau pemilik kebun namun enggan dan terus duduk di kebun itu berseorangan.

“Suspek didapati kurang waras berdasarkan percakapan dan tingkah lakunya. Susulan kejadian itu, suspek dibawa ke Hospital Tambunan untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, parang sepanjang 76 sentimeter turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang lain.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 11:36am
d