mutakhir

Sistem baharu untuk PPSMI

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

KEMENTERIAN Pendidikan sedang mengkaji secara terperinci pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerusi penggunaan sistem baharu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sistem baharu itu menggunakan teknologi maklumat (IT) iaitu pengajaran yang direkod oleh guru terbaik untuk diguna di semua sekolah.

Katanya, ia bagi memastikan kecekapan guru terbaik itu dapat dinikmati semua pelajar sekali gus mencapai hasil hampir sama.

“Pihak kementerian juga mengambil kira kepentingan penguasaan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris (BI) kerana ia sudah menjadi bahasa antarabangsa selain diperlukan untuk pengurusan mahu pun perusahaan.

“Penguasaan BI juga diambil kira dalam peluang kerja. Tidak seperti Geografi dan Sejarah, ilmu Sains bertambah sepanjang masa hasil kaji selidik pakar yang biasanya dibuat dalam bahasa bukan Bahasa Melayu (BM).

“Justeru untuk menguasai ilmu baharu, BI adalah penting,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mahathir menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai pendirian kerajaan terhadap PPSMI dan apakah pembaharuan yang akan diperkenalkan jika ia diperkenalkan semula pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Menurut Dr Mahathir, terjemahan kepada BM tidak dapat dibuat melainkan oleh mereka yang pakar dalam bahasa Sains, BM, BI dan perlu memahami ilmu baharu yang dialih bahasa.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi mengenai sama ada kerajaan ada menerima cadangan daripada Majlis Penasihat Kerajaan berhubung PPSMI, Dr Mahathir berkata, badan itu masih memberi pandangan berdasarkan kajian yang diperolehi.

Beliau berkata, ada pihak bagi cadangan supaya Sains dan Matematik diajar dalam BI dan ada juga berkeras supaya ia terus diajar dalam BM.

Namun katanya, Sains dan Matematik bukanlah sesuatu yang diterokai dalam BM tetapi ia diusahakan oleh orang berbahasa lain.

“Zaman dulu, bahasa ilmu adalah bahasa Greek. Orang Arab apabila disuruh membaca, mereka terpaksa membaca teks dalam bahasa Greek dan bahasa lain kerana tiada ilmu dalam bahasa mereka.

“Namun mereka menguasai bahasa itu sehingga bangsa lain terpaksa mempelajari Bahasa Arab untuk mendapat ilmu.

“Soal perasaan kebangsaan mungkin mendorong untuk kita mengekalkan bahasa kita (BM) tetapi jika menjadi masyarakat yang tidak berilmu, bangsa dan bahasa kita tidak akan berkembang maju,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 12:09pm
d