mutakhir

Buka 2 kertas siasatan salah laku EXCO

Oleh Farah Suhaidah Othman

POLIS membuka dua kertas siasatan berhubung kes salah laku EXCO didakwa membocorkan kertas minit mesyuarat kerajaan negeri bagi mendapatkan komisen dan habuan daripada syarikat pertanian.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima dua laporan iaitu daripada Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean dan satu lagi dari EXCO berkenaan, Abdul Yunus Jamhari.

Katanya, pihaknya sudah membuka dua kertas siasatan membabitkan kedua-dua laporan diterima itu dan menjalankan siasatan lanjut dari setiap aspek.

“Ada dua kertas siasatan iaitu satu disiasat mengikut Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi (laporan dibuat Yong Kean) manakala satu lagi disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (laporan dibuat Abdul Yunus).

“Kertas siasatan dibuka mengikut dua seksyen ini bagi memberi kuasa untuk menyiasat,” katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Razarudin berkata, pihaknya turut mendapat arahan daripada Pengarah Pendakwaan Negeri semalam bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

“Kita juga sudah mengambil percakapan kedua-dua mereka (Yong Kean dan Abdul Yunus) dan siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Yong Kean membuat laporan meminta polis menyiasat salah laku EXCO berkenaan bagi mendapatkan komisen daripada dua syarikat pertanian.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Sentral Ipoh, Sabtu lalu, manakala Abdul Yunus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada keesokannya.

Abdul Yunus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri sebelum ini tampil menafikan perkara itu dan menyifatkan terdapat konspirasi jahat menjatuhkannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau itu berkata, selain laporan polis berhubung konspirasi jahat bertujuan membunuh karier politiknya itu, dia juga akan membuat laporan kepada Lembaga Disiplin PKR berhubung pembabitan beberapa ahli yang cuba menjatuhkannya.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 12:23pm
d