mutakhir

'Polis siasat ADUN' - KPN [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menyiasat setiap aspek berkaitan termasuk pembabitan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikatakan menjadi dalang penyebaran video seks membabitkan Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lelaki dikatakan mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, kes itu rumit kerana membabitkan ahli politik.

“Polis perlu berhati-hati dalam melakukan siasatan dan tidak boleh tergesa-gesa mengambil tindakan bagi memastikan tidak ada pihak teraniaya.

“Siasatan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu dikemukakan kepada peguam negara.

“Perkara ini tidak boleh selesai sekali gus kerana proses berkenaan bergantung kepada hasil siasatan.

“Justeru, kami akan menyiasat setiap aspek berkaitan termasuk individu dikenal pasti terbabit dalam kes ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Pahlawan Jasa Negara di Batalion 4 Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyih hari ini.

Pada majlis itu, beliau memakaikan pingat kepada 231 pegawai dan anggota pelbagai pangkat bagi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Abdul Hamid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbeban dengan tanggungjawab menyiasat kes seumpama itu.

“PDRM ada banyak tugas termasuk misi membersihkan jabatan selain membanteras kegiatan maksiat dan judi.

“Kini, perhatian kami teralih kepada isu yang tidak sepatutnya padahal polis boleh fokus kepada perkara lebih berfaedah.

“Bagaimanapun, sudah menjadi tanggungjawab polis untuk menyiasat perkara itu,” katanya yang memaklumkan tiada tangkapan terbaru selain enam individu yang direman semalam.

Terdahulu, enam individu termasuk Haziq yang juga bekas Ketua Pemuda PKR Santubong ditahan buat kali kedua bersama lima individu lain dipercayai ahli PKR dalam serbuan besar-besaran di sekitar Lembah Klang kelmarin sebelum mereka direman enam hari.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan kertas siasatan berhubung EXCO Kerajaan Perak yang didakwa merogol pembantu rumahnya sudah berada di peringkat akhir.

“Kertas siasatan itu akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dan tidak akan ada kelewatan di pihak polis untuk selesaikan kes berkenaan,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Haziq direman enam hari

Isu video: Haziq ditahan kali kedua

Dalang sebar video Haziq dikenal pasti

Polis masih siasat video seks

PKR pecat Haziq

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 12:41pm
d