mutakhir

Kenderaan PLUS Ronda lebih berteknologi

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menaik taraf kenderaan PLUS Ronda miliknya dengan teknologi terkini supaya dapat melakukan pemantauan di lebuh raya dengan lebih baik.

Ketua Pegawai Operasinya, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, ketika ini kenderaan berkenaan sudah dilengkapi lampu diod pemancar cahaya (LED) penunjuk arah dan sistem berlampu lain.

“PLUS Ronda juga bakal dilengkapi tablet atau iPad yang boleh membantu kerja pemantauan terutama mendapat maklumat kemalangan dengan lebih cepat.

“Kaedah itu juga membolehkan kita mengesan kedudukan kenderaan, seterusnya memudahkan pasukan ke tempat kejadian.

“Inisiatif ini dilaksana ke arah permodenan PLUS Ronda selain memantapkan lagi keupayaan dan perkhidmatan PLUS kepada pengguna lebuh raya,” katanya.

Beliau ditemui pada Persidangan Konsesi Lebuh Raya (HCC) 2019 yang dirasmikan Menteri Kerja Raya Baru Bian di Teluk Kumbar, semalam.

Zakaria berkata, PLUS sentiasa berusaha mengurangkan kadar kemalangan menerusi kempen kesedaran dan bekerjasama dengan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kerjasama JPJ babitkan pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di kawasan berisiko kemalangan seperti di Jelapang, Changkat Jering dan Bukit Gantang di Perak.

“Kita juga menambah lebih banyak lampu terutama sepanjang Terowong Menora bagi mempertingkatkan tahap waspada pengguna serta menambah rangkaian CCTV,” katanya yang memberitahu pusat kawalan trafik PLUS antara yang terbaik di negara ini.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 1:17pm
d