mutakhir

Mak buang anak dipenjara setahun [METROTV]

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

WANITA yang membuang anak baru dilahirkan dan kemudian berpura-pura menjumpai bayi itu pada Oktober 2018, dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Siti Maswani Mustapha, 31, yang bekerja sebagai pembantu kedai mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan.

Mahkamah memerintahkan ibu empat anak itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat meninggalkan bayi perempuan di tepi kedai perkakasan di Kota Bharu pada 1.05 pagi, 18 Oktober 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan menemui bayi perempuan dan siasatan dijalankan sebelum tertuduh mendakwa mendengar bunyi tangisan bayi.

Polis bagaimanapun, mengesyaki tertuduh seperti baru bersalin dan siasatan di tempat penginapan wanita itu menemui darah di atas lantai dan uri yang diletakkan dalam plastik.

Tertuduh dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan lanjut dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan mendapati bayi itu anak tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan kerana mempunyai tiga anak.

Wan Nurul Hanini bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kes buang bayi semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

“Sebagai ibu, dia sepatutnya memberi perlindungan dan tidak membiarkan bayi dalam keadaan bahaya,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 1:34pm
d