mutakhir

Semoga dihukum setimpal...

Oleh Garret Dawum

SEORANG pemuda berpura-pura membeli mi segera di kedai runcit milik jirannya sebelum mencabul anak perempuan pemilik kedai itu yang berusia 13 tahun.

Lelaki berusia 22 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan jijik itu di Kampung Pinggan Jaya, Kuching, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, suspek yang tidak bekerja berjaya ditahan pada 3.20 petang.

“Ketika kejadian dia masuk ke dalam premis dan berpura-pura mahu membeli mi segera, namun mendekati mangsa yang ketika itu sedang bersiap untuk ke sekolah.

“Mangsa cuba melawan dengan menarik rambut suspek, namun dicederakan di hidung dan mulut oleh suspek.

“Akibat pergelutan itu, mangsa menjerit meminta tolong dan suspek melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Awang Din berkata, jeritan mangsa didengari penduduk kampung yang kemudian mengejar suspek sebelum menangkapnya.

Katanya, suspek kemudian diserahkan kepada polis dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih berwaspada dan tidak meninggalkan anak perempuan seorang diri bagi mengelak kejadian tidak diingini..

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 1:58pm
d