mutakhir

Pemilik berhutang, penyewa jadi mangsa

Oleh Mohd Sabran Md Sani

ENAM barang milik kedai mencuci kereta di Jalan Padi Emas, Bandar Baru Uda, Johor Bahru ‘ditawan’ hampir sejam selepas premis komersial itu diserbu dalam Operasi Sitaan Cukai Harta 2019 hari ini.

Tindakan itu diambil Unit Bertindak Cukai Harta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selepas pemilik premis gagal menjelaskan cukai harta tertunggak lebih RM19,000 sejak tiga tahun lalu.

Sikap sambil lewa pemilik premis komersial itu mengheret sama penyewa bangunan itu hingga mengakibatkan operasi perniagaan tergendala sejam.

Enam barang ditahan itu membabitkan alat penyedut hampagas dan penyembur air hingga memaksa penguat kuasa menampalkan pelekat putih untuk menahan barangan itu di stor simpanan.

Difahamkan pemilik premis sudah diberikan Notis E pada 26 Jun lalu berhubung tunggakan cukai gagal dijelaskan lebih tiga tahun namun tempoh matang notis itu melebihi 15 hari mengakibatkan premis itu diserbu.

Hasil perbincangan dan budi bicara hampir sejam akhirnya persetujuan dicapai sebelum pemilik premis berusia 60-an itu membuat pembayaran secara atas talian menggunakan bank tempatan.

Bayaran sekali gus itu membolehkan operasi kedai disewa sejak lima tahun lalu beroperasi kembali dan enam barangan ditahan dipulangkan kepada pemiliknya pada 11.30 pagi tadi.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBJB, Muhammad Iqbal Arami Mohamed Sharif berkata, operasi itu bagi memburu 61,000 pegangan bangunan komersial dan kediaman membabitkan tunggakan RM94.8 juta.

“Operasi ini dilaksanakan selepas 14,000 pemilik harta perniagaan dan 47,000 pemilik kediaman membabitkan tunggakan dari Januari hingga Disember tahun lalu.

“Sebanyak RM120,000 tunggakan cukai harta direkodkan tahun ini membabitkan 87,000 pemilik harta termasuk pegangan bangunan komersial dan premis kediaman.

“Sejak awal tahun hingga hari ini, RM25.2 juta berjaya dikutip membabitkan 26,000 pegangan di kawasan pentadbiran MBJB,” katanya yang turut menyertai operasi itu hari ini.

Katanya, MBJB sudah mengeluarkan 26,000 surat peringatan berhubung tunggakan cukai harta kepada pegangan perniagaan dan kediaman selain menyasarkan kutipan RM30 juta tahun ini.

Katanya, semua pemilik dan pemegang harta perlu tampil menjelaskan cukai tertunggak bagi mengelak dikenakan tindakan mengikut Seksyen 148 (1) Akta 171 (Kerajaan Tempatan).

“Seksyen itu memperuntukkan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menyita apa-apa harta alih kepunyaan sesiapa saja yang dijumpai pegangan mempunyai tunggakan,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 2:28pm
d