mutakhir

Cemas tersangkut di tingkat 31

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

DUA pekerja pencuci bangunan berdepan detik cemas apabila gondola digunakan rosak mengakibatkan mereka tergantung di tingkat 31 sebuah hotel dekat Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, kedua-dua pekerja berusia 30-an berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.12 tengah hari.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan bantuan dari BBP Jalan Hang Tuah dengan 10 anggota bersama satu jentera Turn Table Ladder (TTL) turut ke lokasi.

“Mereka yang terperangkap berjaya diselamatkan pasukan bomba dari Unit Penyelamatan Bangunan Tinggi (HRRT) bomba pada jam 2.52 petang,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati gondola itu mengalami masalah teknikal ketika kerja mencuci bangunan dijalankan.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 5:28pm
d