mutakhir

'Tolonglah, kami nak sekolah...'

Oleh Adnan Ibrahim

“KAMI nak ubah nasib keluarga, apatah lagi melihat keadaan datuk dan nenek semakin uzur,” kata Putera Zharif Asyam Mohd Addi Sabrenal, 16, ketika ditemui di kediaman neneknya di Kampung Md Amin, Simpang Renggam, hari ini.

Keinginan terbabit diluahkan remaja berkenaan selepas dia dan adiknya, Mohammad Putera Zaki Anas, 15, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdul Rahman Andak, keciciran pelajaran hampir dua tahun.

Mereka merayu untuk diberikan peluang kedua meneruskan pembelajaran di sekolah itu semula meskipun terpaksa mengulang di kelas terakhir mereka belajar di sekolah ketika itu.

Putera Zharif berkata, mereka tidak berniat untuk tidak menyambung pelajaran ketika masing-masing berada di tingkatan dua dan satu sekolah itu.

Katanya, keadaan ini berlaku kerana mereka tidak mahu membebankan nenek, Zainab Sudin, 65, yang turut terpaksa menyara dua adik perempuannya yang kini berusia tujuh dan 10 tahun serta bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sri Kencana di Simpang Renggam.

“Ibu serta ayah kami, Suria Sarikat, 33, dan Mohd Addi Sabrenal, 35, berpisah pada 2014 dan sejak itu kami ditempatkan di rumah nenek di Kampung Md Amin di Machap tanpa sebarang nafkah daripada mereka berdua.

“Akibat keadaan itu, kami empat beradik hanya bergantung ihsan nenek serta datuk, Sarikat Jonet, 63, yang hanya bekerja kampung untuk menyara kehidupan keluarga tanpa mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Putera Zharif berkata demikian ketika menerima lawatan Ketua Serikandi Johor, Nur Khurul Ain Abdul Samat di rumah neneknya itu selepas mendapat maklumat berkaitan kehidupan empat beradik itu, hari ini.

Menurut Putera Zharif, mereka berdua berasa amat bertuah sekiranya ada pihak yang ingin membantu, sekali gus membolehkan hasrat bersekolah semula terlaksana.

“Kami tak kisah semua itu, kerana pendidikan amat penting untuk masa depan apatah lagi kehidupan kami empat beradik harus diubah tanpa perlu terus bergantung kepada nenek serta datuk yang semakin uzur,” katanya.

Sementara itu, Zainab berkata, selain Putera Zharif dan tiga orang adiknya, anaknya, Norjanah Sarikat, 30, turut tinggal sebumbung bersama tiga anaknya yang berusia dua hingga sembilan tahun selepas turut ditinggalkan suami sejak dua tahun lalu.

“Selain pendapatan suami yang bekerja kampung, pendapatan Norjanah sebagai pekerja di kilang berhampiran rumah sebanyak RM800 sebulan digunakan untuk menyara kehidupan harian kami 10 orang di rumah itu.

“Pendapatan itu sememangnya tidak mencukupi untuk perbelanjaan sekolah bagi lima orang dengan salah seorang daripadanya dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Dalam pada itu, Nur Khurul Ain akan mengajukan masalah dihadapi keluarga itu kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang supaya dapat dilakukan satu tindakan bagi memastikan dua beradik itu kembali bersekolah.

Beliau berkata, selain itu, mereka akan mengusahakan bantuan sewajarnya kepada keluarga berkenaan bagi membolehkan kehidupan mereka lebih sempurna serta mencukupi supaya tiada lagi masalah yang berlaku sehingga ada yang tercicir pelajaran.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 6:28pm
d