mutakhir

`Anugerah ini sempurnakan hasrat bapa saya'

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

TUN Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Asia 2019 atas sumbangannya dalam pembangunan bidang kesihatan awam negara.

Pemilihan isteri Perdana Menteri itu bagi anugerah berkenaan kerana beliau adalah seorang tokoh yang menjadi contoh ikutan dan inspirasi kepada wanita lain khususnya rakyat Malaysia.

Dr Siti Hasmah adalah perintis dan contoh inspirasi kepada wanita di Malaysia dan seluruh dunia yang mana beliau menonjol sebagai seorang yang memberi sumbangan besar kepada negara dengan keberaniannya, kegigihan dan kekuatan karakternya.

Beliau adalah ‘pemimpin’ dalam pelbagai perkara yang mana kebanyakannya berjaya mencapai ‘yang pertama’ dalam Kementerian Kesihatan ia termasuk menjadi doktor wanita Melayu pertama.

Selain itu, ketokohannya dalam memimpin beberapa badan termasuk Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Presiden Persatuan Perubatan Asas Malaysia dan Presiden Persatuan Rehabilitasi Kanak-kanak Kurang Upaya turut menjadi kebanggaan.

Usahanya yang berterusan dan tidak pernah lelah selain inisiatif dalam bidang kesihatan awam, bahasa dan kawalan penyalahgunaan dadah tidak pernah berbelah bahagi yang mana ia mendapat pelbagai pengiktirafan dan anugerah.

Sementara itu, Dr Siti Hasmah dalam ucapannya berkata pembabitan beliau dalam dunia perubatan didorong oleh hasrat arwah bapanya yang mahu 10 anak-anak berjaya.

“Arwah bapa saya (Mohd Ali Taib) adalah individu yang sangat bercita-cita dalam pendidikan, jadi dia mahu semua anak berjaya dalam pendidikan. Dia hantar saya ke sekolah perubatan di Singapura.

“Jadi anugerah ini menyempurnakan hasrat bapa saya untuk melihat anak-anaknya berjaya dan menyumbang kembali kepada negara,” katanya.

Anugerah itu disampaikan pada majlis Anugerah HRD Asia 2019 yang berlangsung, hari ini.

Antara tokoh yang pernah dipilih bagi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat HRD Asia adalah bekas Presiden Filipina Fidel V Ramos, bekas Presiden dan Perdana Menteri Bosnia Herzegovina Dr Haris Silajdzic serta bekas Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Individu lain yang turut menerima anugerah pada majlis itu adalah Pengerusi Institut Pengurusan Malaysia Datuk Ng Tieh Chuan dan Pengasas Restoran D’Tandoor Datuk Abdul Malik Abdullah selain Yayasan Sarawak.

Anugerah HRD Asia adalah pengiktirafan kepada tokoh ulung yang menyumbang kepada pembangunan manusia sama ada untuk profesion sumber manusia, organisasi, komuniti atau masyarakat pada umumnya.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 11:59pm
d