mutakhir

Tak mengaku tipu RM100,000

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

AHLI perniagaan bergelar Datuk Seri dan seorang konsultan hartanah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan wang berjumlah RM100,000, dua tahun lalu.

Abdul Majid Zainal Abidin, 62, dan Zulfa’is Shah Ghapar Shah, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama sudah menipu ahli perniagaan, Ang Kuah Chua, 53, dengan memperdayakannya untuk menyerahkan wang tunai RM100,000.

Ia kononnya untuk mendapatkan segala dokumen yang berkaitan tanah gantian kepada syarikat Arena Juta Niaga Sdn Bhd dan dengan itu, mendorong lelaki itu untuk menyerahkan wang itu yang mana dia tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdayakan demikian.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh.

Peguam Husni Abdul Hamid yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diberikan jaminan rendah atas alasan mereka adalah penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 20 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 5:00pm
d