mutakhir

Tempoh dua bulan saja

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberi tempoh dua bulan kepada penternak babi seluruh negara untuk meningkatkan biosekuriti ladang bagi mengelakkan penyebaran African Swine Fever (ASF).

Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, walaupun sehingga kini Malaysia masih bebas penyakit ASF, biosekuriti ladang perlu diberi perhatian oleh penternak babi kerana ASF boleh melumpuhkan industri itu.

Katanya, jika mereka gagal mematuhi arahan berkenaan, JPV tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk denda dan menarik lesen ladang ternakan.

“Langkah meningkatkan biosekuriti ini termasuk mengelakkan pemilik ladang babi ke ladang babi negara terjangkit, memastikan pagar perimeter ladang selain pekerja ladang perlu memakai pakaian dan kasut bersih serta bersesuaian.

“Kemasukan lori untuk menghantar makanan babi ke ladang dan tujuan membeli ternakan itu juga perlu melalui proses disinfeksi. “Pemilik ladang juga dilarang memberi sisa makanan sebagai bahan makanan kepada ternakan dan amalkan penggunaan dedak,” katanya pada sidang media seminar pencegahan kemasukan dan perebakan ASF di Makmal Kesihatan Awam Veterinar Salak Tinggi hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, jika ASF masuk ke negara ini, ia mengambil tempoh lama untuk bebas daripada penyakit itu.

“Misalnya seperti di Eropah, penyakit itu menyerang selama 40 tahun manakala Sepanyol mengambil masa 20 tahun untuk bebas,” katanya.

Terdahulu, program seminar berkenaan turut menampilkan pelbagai penceramah dan pakar bagi memberi kesedaran kepada peserta yang terdiri daripada pengusaha dan penternak babi.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 6:04pm
d