mutakhir

'Rezeki' lambat makan tengah hari

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

“KETIKA sedang makan tengah hari, saya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat disusuli rumah bergegar sebelum bertanya kepada anak apa yang sedang berlaku.

“Saya terus memeriksa dan mendapati sebuah kereta melanggar bahagian dapur rumah,” kata suri rumah, Zawiah Yusoff, 62, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Binjai 1, Kedai Mulong, Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian 2.20 petang semalam itu, tiada kecederaan dilaporkan dan hanya bahagian dapur rumah musnah akibat rempuhan kereta Toyota Camry terbabas.

Sebelum kejadian, kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 49 tahun dalam perjalanan dari arah Pendek menghala ke Mulong dan sebaik sampai di simpang Lubok Jambu, dia memperlahankan kereta untuk membelok ke kanan.

Kemudian kereta Toyota Camry dipandu lelaki berusia 47 tahun itu datang dari arah belakang dan bergesel di bahagian belakang sebelah kiri Proton Saga sebelum terlanggar dapur rumah mangsa.

Zawiah berkata, ketika itu dia sedang makan dengan anaknya dalam jarak tiga meter dari lokasi kereta itu terbabas.

Katanya, dia terselamat kerana kereta itu tidak terlanggar dirinya dan anak.

“Kami terselamat kerana kereta itu melanggar dapur di bahagian luar rumah yang turut dijadikan sebagai stor untuk menyimpan barang.

“Kebiasaannya selepas makan tengah hari saya akan berehat di bahagian itu, namun bersyukur kerana ketika itu masih menikmati makan tengah hari.

“Saya tidak membuat laporan polis kerana tiada kecederaan dan kejadian itu menyebabkan saya kerugian RM3,000,” katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 6:36pm
d