mutakhir

Ditemui tidak bernyawa dalam kenderaan

Oleh Norizuan Shamsuddin

BURUH ditemui mati dalam kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara di sebuah kilang kayu di Sungai Lerek, Chalok di Permaisuri, hari ini.

Dalam kejadian 7.15 pagi itu, lelaki berusia 50 tahun itu ditemui oleh anak saudaranya berusia 24 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa yang juga adik kepada pemilik kilang terbabit sudah meninggal dunia.

“Mangsa dipercayai baru keluar tandas kerana didapati memakai tuala dan terdapat tompokan darah pada punggung serta di tanah berdekatan pintu kenderaan.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui tompokan darah di bilik mandi berhampiran tandas dan najis bercampur darah dalam semak di kawasan berhampiran kenderaan terbabit.

“Bagaimanapun, tiada kesan kecederaan akibat pukulan atau tikaman ditemui pada badan mangsa sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya ketika dihubungi.

Zulkifli berkata, pihaknya turut mengambil keterangan isteri dan abang mangsa untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil soal siasat mendapati mangsa bekerja di kilang milik abangnya sebagai buruh sejak Mei lalu dan kali terakhir mangsa pulang ke rumah bertemu isterinya adalah pada 10 hingga 13 Julai lalu.

“Mangsa juga dikatakan mempunyai masalah buasir sejak 17 tahun lalu tetapi tidak menerima sebarang rawatan selain turut mengalami batuk tanpa henti serta sesak nafas.

“Kita masih menunggu laporan bedah siasat dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 7:09pm
d