mutakhir

Anggota sindiket rokok seludup ditahan

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

LIMA lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran rokok seludup yang aktif di sekitar Lembah Klang ditahan dalam Op Asap, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam operasi dilakukan di Klang itu, sebanyak 2,710 karton rokok seludup pelbagai jenama dirampas bersama wang tunai berjumlah RM49,040.

“Turut dirampas sebuah Toyota Hilux dan Proton Waja bersama 87 keping pelekat duti kastam yang dipercayai palsu.

“Nilai rampasan rokok selepas cukai ditaksirkan berjumlah RM400,000, manakala nilai keseluruhan rampasan bernilai RM594,040,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan selama tujuh hari bermula hari ini hingga 23 Julai mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 8:24pm
d