mutakhir

Tuah SK Kampung Raja, SMK Mak Lagam

Oleh Malik Muhamad

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Kampung Raja, Besut dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam, Kemaman menjuarai Pertandingan Choral Speaking Peringkat Negeri Terengganu di SMK Chung Hwa Wei Sin dan SK Sultan Sulaiman (1), Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, kedua-dua sekolah terbabit akan mewakili Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan pada bulan depan.

SK Kampung Raja yang mewakili Besut dipilih sebagai pemenang selepas persembahan bertajuk ‘A Penny Saved Is A Penny Earned’ memikat juri manakala SMK Mak Lagam mengadakan persembahan bertajuk ‘Age Is Just A Number’ dalam pertandingan selama dua hari bermula semalam.

Jurulatih SK Kampung Raja, Zaidah Abd Samat berkata, beliau tidak menyangka latihan lebih seminggu bersama dua lagi jurulatih, Fazlin Hanim Rahiman dan Jasrie Juriana Jaafar membuahkan hasil.

“Kami tidak menyasarkan kemenangan kerana ini penyertaan kali pertama, lagipun latihan tidak sampai dua minggu. Tetapi, kami teruja selepas diumumkan sebagai pemenang.

“Harapan kami di peringkat kebangsaan nanti, murid mampu menyajikan persembahan lebih baik untuk bergelar juara di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Bagi jurulatih SMK Mak Lagam pula, Nurul Atiqah Mohd Nori berkata, latihan berterusan selama dua minggu menjadi kunci kejayaan pasukannya.

“Ini kali pertama pelajar kami yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 menyertai pertandingan ini.

“Semua pasukan mempamerkan kehebatan tersendiri, tetapi pasukan kami lebih bernasib baik selepas diumumkan sebagai pemenang,” katanya.

Sementara itu, penyelaras pertandingan, Noor Ashikin Hashim berkata, program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama Bank Rakyat itu berjaya mencapai matlamat untuk memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid selain menarik minat mereka untuk bertutur dalam bahasa itu.

Beliau berkata, menerusi program sedemikian, ia bukan saja menggalakkan pelajar bercakap dalam Bahasa Inggeris, malah boleh menjadi budaya di sekolah.

Majlis penutupan program itu disempurnakan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPNT, Tahar Sali.

Turut hadir, Penolong Pengurus Bank Rakyat Cabang Tiga, Abdul Razak Kassim dan Penolong Pengurus Pemasaran Strategik Bank Rakyat, Nurul Adila Johadi.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 10:35pm
d