mutakhir

14,600kg baja disita

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

IPOH: Beroperasi di premis terpencil dengan keadaan tempat pembungkusan yang uzur menjadi taktik syarikat membungkus dan mengedar baja secara haram di Kawasan Perindustrian Pengkalan di sini.

Bagaimanapun, taktik premis dipercayai beroperasi selama enam bulan itu gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Khalid Tik berkata, pihaknya yang menerima maklumat daripada orang awam menjalankan risikan selama dua minggu sebelum menyerbu premis itu jam 5 petang kelmarin.

Menurutnya, lokasi terpencil serta terletak di bahagian belakang kawasan perindustrian itu dengan jalan masuk berbatu menyukarkan penguat kuasa KPDNHEP untuk mengenal pasti premis berkenaan.

Bagaimanapun dengan kecekapan serta risikan, ia berjaya mengenal pasti lokasi itu sebelum pemeriksaan mendapati premis membungkus dan mengedar baja berkenaan tidak mempunyai lesen.

“Pemerhatian dan risikan mendapati pemilik premis ini menjadikan gudang sebagai stor simpanan baja sebelum dibungkus dan diedarkan kepada pelanggan sekitar negeri ini.

“KPDNHEP berjaya menahan lelaki berusia 57 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis serta beberapa pekerja sebelum diambil keterangan dan dibebaskan selepas selesai,” katanya pada sidang media di premis berkenaan.

Dalam serbuan itu juga, pihak KPDNHEP turut menyita baja pelbagai jenama sebanyak 438 beg dengan berat 14,600 kilogram (kg) bernilai RM20,293.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemilik premis mengaku tidak pernah membuat permohonan lesen untuk menjalankan aktiviti menyimpan, membungkus dan mengedar barang kawalan itu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 5:30am
d