mutakhir

Empayar elit musnah

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KUALA LUMPUR: Pernah berada di kemuncak sebagai ahli perniagaan antarabangsa tidak menjamin hidupnya bebas daripada pengaruh ketagihan alkohol yang serius hingga hilang segala-galanya.

Kemurungan akibat ketagihan bahan itu menyebabkan dia mengambil keputusan untuk meminum racun, namun ikhtiar terakhir untuk mencuba program pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) merubah nasibnya.

Bagi Thiru, 40, dia masih ingat bagaimana dia hilang pedoman hidup selepas memiliki segala-galanya yang dimahukan dengan kemewahan yang ada, selain latar belakang keluarganya yang bertaraf elit, hanya kerana ketagihan tidak terkawal.

“Yang merosakkan hidup saya adalah ketagihan alkohol melampau. Waktu itu saya ada rangkaian perniagaan di Dubai, Singapura dan beberapa negara lain dengan pendapatan bersih lebih RM50,000 sebulan.

“Selepas ditipu rakan perniagaan, saya mengambil alkohol dalam kuantiti yang banyak setiap hari, terjerat hutang along dan dibuang keluarga.

“Selepas meminum racun, saya tidak sedarkan diri di sebuah taman rekreasi di pinggir ibu negara sebelum dikejarkan ke hospital. Sebaik sedar, doktor menyarankan saya agar ke Pengasih untuk menjalani pemulihan, Di sini, saya seperti dapat nyawa saya semula,” katanya ketika sesi perkongsian pengalaman sempena lawatan Badan Kebajikan Belia The Prince’s Trust United Kingdom di sini, semalam.

Thiru berkata, sentuhan motivasi dan dorongan daripada pengurusan serta penghuni Pengasih membuka matanya bahawa kehidupan yang ada tidak boleh dibazirkan begitu saja dan dia tidak melepaskan peluang itu untuk berubah sepenuhnya.

Menurutnya, dengan kepakaran yang ada, dia membimbing penghuni lain untuk menjadi usahawan biarpun masih di dalam program pemulihan kerana percaya semua orang perlu diberikan peluang kedua.

“Di sini saya diajar membantu untuk menolong diri sendiri. Semuanya dilakukan sendiri, kita tegur orang, pada masa sama ia ingatan untuk diri sendiri. Pengurusan pula memberi sokongan tidak berbelah bagi,” katanya dalam pertemuan yang turut dihadiri Pengarah Program Antarabangsa Asia Pakistan dan Malaysia badan itu, Zahid Mahmood dan Presiden Pengasih Ramli Abdul Samad serta Yayasan Raja Muda Selangor.

Sementara itu, Zahid berkata, pihaknya mengadakan pertemuan bersama Pengasih untuk meneliti modul digunakan bagi memulihkan penagih khususnya golongan muda.

Katanya, pihaknya juga mempunyai program yang sama di India dan Pakistan dan sedang melihat kerjasama erat dengan Pengasih sebagai kolaborasi baru untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Di sini juga nampak perubahan yang berlaku kepada penagih dan kita juga bertukar-tukar pandangan mengenai apa yang kami usahakan di United Kingdom. Selepas ini kita berharap lebih banyak lagi dapat diusahakan bersama Pengasih,” katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 5:40am
d