mutakhir

Nekad sambung belajar

Oleh Mohd Rafi Mamat

KUANTAN: “Selepas lima kali gagal memohon jawatan jururawat, saya nekad untuk meneruskan pengajian di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dalam bidang perakaunan,” kata Norfaez Diana Abdullah Sani, 26, penerima Anugerah Pengarah sempena Majlis Konvokesyen POLISAS Ke-40 di Bukit Gambang Resort di sini, kelmarin.

Menurutnya, Diploma Kejururawatan yang dimiliki dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor kini disimpan sebagai bukti kejayaan berada di menara gading.

Katanya, kini dia turut memiliki Diploma Perakaunan dari POLISAS dan lebih membanggakan apabila menerima Anugerah Pengarah POLISAS, sekali gus pencapaian tertinggi dan membanggakan.

“Saya tidak pernah menyesal untuk terus belajar walaupun ada pihak berpendapat tindakan itu merugikan dirinya yang sepatutnya kini sudah bekerja bagi membantu keluarga.

“Saya ada pendirian saya sendiri... peluang kedua yang diterima digunakan sebaik mungkin apabila berjaya meraih anugerah pengarah,” katanya ketika ditemui di majlis konvokesyen, kelmarin.

Majlis dirasmikan Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusan PKT Logistics Group Sdn Bhd, Datuk Dr Michael Tio.

Hadir sama Pengarah POLISAS Dr Abd Latif Ahmad.

Seramai 1,687 graduan menerima diploma masing-masing di majlis konvokesyen itu.

Norfaez Diana yang kini bertugas sebagai pembantu akaun di stesen Petronas Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kawasan Benta, Lipis berkata, dia bersyukur dengan anugerah diterima yang dianggap hadiah selepas berusaha gigih sebelum ini.

“Kejayaan saya ini diharap menjadi contoh kepada pelajar lain supaya berusaha bersungguh-sungguh memburu kejayaan, sekali gagal tidak bermakna terus gagal.

“Usia bukan penghalang untuk mencatat kejayaan dalam bidang akademik,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 5:45am
d