mutakhir

Selat Melaka kekal selamat

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PERAIRAN Selat Melaka kekal selamat untuk aktiviti perkapalan termasuk sebagai laluan perdagangan antarabangsa.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, pihaknya tidak terkesan dengan isu keselamatan cuba dibangkitkan mengenai Selat Melaka.

“Mana-mana negara boleh menimbulkan isu keselamatan itu sebagai langkah berjaga-jaga namun, setahu saya tiada petunjuk yang mengatakan kawasan perairan kita tidak selamat.

“Jadi, ditegaskan kawasan Selat Melaka kita kekal selamat,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Manakala Abdul Hamid diiringi Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad.

Baru-baru ini, beberapa media termasuk luar negara melaporkan kebimbangan kerajaan China terhadap tahap keselamatan di perairan Selat Melaka.

Malah, Kementerian Pengangkutan China dilapor meminta syarikat perkapalan dari negara itu meningkatkan keselamatan apabila belayar di Selat Melaka.

Sementara itu, Zulkifli berkata, ATM bersedia untuk membenarkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital tentera sekiranya mempunyai dana mencukupi.

“Perkara ini dibincangkan dalam pertemuan tadi dan memerlukan perbincangan serta penelitian lanjut. Ia membabitkan isu peruntukan dan pelbagai isu lain yang perlukan pertimbangan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, ATM dan PDRM turut berbincang untuk memperkemaskan isu keselamatan di sempadan negara termasuk di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 2:51pm
d