mutakhir

Makan ulam, berkebun petua sihat

Oleh Zuhainy Zulkiffli

GEMAR makan ulam-ulaman dan suka berkebun sejak kecil antara amalan jemaah haji, Bedah Yaacob bagi menjaga kesihatan.

Justeru, tidak hairanlah jemaah dari dari Pantai Remis, Perak, itu kelihatan masih bertenaga untuk menunaikan ibadah haji pada usia 81 tahun.

Bedah berkata, dia bersyukur kerana pada usia itu, dia terhindar daripada sebarang penyakit seperti dihidapi rakan seusia lain.

Katanya, sejak tiba di Kompleks Lembaga Tabung Haji (TH) di Bayan Lepas, dia ditegur jemaah lain dan tetamu kerana masih kuat berjalan tanpa menggunakan kerusi roda.

“Petugas TH amat prihatin dan bertanya sekiranya saya perlukan kerusi roda, namun saya lebih selesa berjalan sendiri.

“Semuanya dengan izin Allah SWT, cuma yang boleh saya katakan ialah mungkin rezeki kesihatan ini berikutan amalan saya menjaga pemakanan, hanya ambil makanan menyihatkan sahaja.

“Tambahan pula ‘orang dulu-dulu’ suka berkebun dan bercucuk tanam, badan pun jadi sihat,” katanya.

Mengulas lanjut, selepas berpeluang menunaikan umrah pada 2013, kali ini dia dipanggil sebagai tetamu Allah SWT bersama anaknya, Rofidah Don, 61.

Katanya, bimbang dengan keupayaannya di Tanah Suci, Bedah dibeli tongkat oleh anaknya bagi memudahkan pergerakannya.

“Besar harapan saya di hadapan Kaabah nanti kerana membawa doa kenalan dan antaranya ialah pohon dikurniakan zuriat serta pulih daripada sakit kronik.

“Kita hanya mampu berdoa, selebihnya terserah kepada Allah SWT dan diharap semuanya dipermudahkan serta berjalan dengan lancar,” katanya.

Bedah dan Rofidah antara 150 jemaah daripada kumpulan ketiga haji musim 1440 Hijrah/2019 dari Pulau Pinang yang berlepas ke Tanah Suci pada 12.40 pagi tengah malam tadi menaiki penerbangan Malaysian Airlines Berhad (Malaysia Airlines) MH8445 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jemaah membabitkan 85 perempuan dan 65 lelaki itu kemudian menaiki penerbangan MH8126 dari KLIA pada 5.10 pagi dan tiba di Madinah pada 8.40 pagi waktu Arab Saudi.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 4:56pm
d