mutakhir

320 kambing korban dicuri

Oleh Mary Victoria Dass

“WALAUPUN mengalami kerugian sebanyak RM300,000 apabila 320 kambing untuk Hari Raya Aidiladha dilarikan, kelmarin, saya bersyukur keselamatan dan nyawa pekerja ladang selamat,” kata pengusaha ladang kambing Osman Goat Farm, Osman Cheya Kutty, 51.

Osman berkata, ladang ternakannya di PTD 6785, Seelong, Senai, disamun penjenayah, 10.30 malam kelmarin ketika dua pekerjanya bersiap untuk makan malam selepas sibuk menguruskan ladang berkenaan.

Osman yang terkenal sebagai penternak berkebajikan menerusi Program Akikah Kambing RM1 sempena Maulidur Rasul sejak lapan tahun lalu berkata, dalam kejadian berkenaan, pekerjanya dikenali sebagai Riyanto Sugeng dan Surono diserang dengan parang dan dikurung dalam kontena di ladang itu oleh lapan lelaki bertubuh gempal.

Katanya, kesemua lelaki berkenaan menutup muka, bersarung tangan dan masing-masing bersenjatakan parang berukuran 1.2 meter.

“Pekerja saya berusia 39 dan 42 tahun yang juga warga Indonesia sudah bekerja di ladang berkenaan sejak lima tahun lalu dan sebelum ini mereka berjaya menghalang cubaan samun di lokasi sama sebanyak dua kali.

“Bagaimanapun, kali ini mereka tidak mampu berbuat apa-apa apabila penjenayah memasuki kawasan ladang mengikut bahagian belakang dan mengacukan parang kepada mereka menyebabkan mereka tidak sempat melepaskan anjing yang ada di ladang.

“Mereka tetap melawan hingga mengalami kecederaan di anggota badan namun tangan dan kaki diikat sebelum disumbat di dalam kontena yang digunakan sebagai tempat berehat,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Kulai kelmarin.

Osman berkata, dalam kejadian itu, penjenayah melarikan 320 kambing jenis Boer yang juga sebahagian besar daripada jumlah sebenar ternakannya dan kotak ubat-ubatan menggunakan lori.

Katanya, dia hanya menyedari kejadian apabila dihubungi seorang pekerja ketika dalam perjalanan ke ladang itu.

“Saya yakin antara faktor rompakan adalah permintaan tinggi selain harga meningkat terutama bagi kambing Australia dan Thailand iaitu berharga kira-kira RM1,000 setiap ekor di pasaran ketika ini.

“Kami masih memiliki 2,200 kambing untuk tempahan Hari Raya Aidiladha mulai 25 Julai ini.

“Saya bersyukur kerana semua pekerja selamat kerana nyawa mereka tidak ternilai berbanding harga kambing dan masih dapat berniaga seperti biasa untuk menampung permintaan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu tidak menjejaskan kerja amal yang dia lalukan selama ini termasuk Program Kambing RM1 dan berharap semua pelanggan mendoakan keselamatan mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 395/397 kanun keseksaan.

“Salah seorang pekerja mengalami kecederaan di tubuh akibat dipukul suspek kerana cuba melawan. Siasatan mendapati tiada kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi dan tiada saksi lain melihat kejadian.

“Kami kini masih mengumpl maklumat dan mengesan suspek kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 6:40pm
d