mutakhir

Jaga-jaga...paus pembunuh berbahaya

Oleh Zaid Salim

JANGAN dekati atau mengganggu paus pembunuh atau nama saintifiknya, Orcinus orca kerana boleh menyebabkan mamalia itu agresif.

Begitulah nasihat dikeluarkan Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang Mohd Tamimi Ali Ahmad kepada nelayan susulan kehadiran sepasang paus pembunuh berdekatan pelantar minyak Dulang kira-kira 170 kilometer dari Kerteh.

Menurutnya, spesies mamalia itu adalah liar dan berbahaya bukan sahaja kepada hidupan marin tetapi juga mengancam nyawa nelayan.

“Paus itu memang ditemui di tengah laut tetapi kita bimbang ia tersasar ke kawasan berhampiran pantai dan mengancam keselamatan nelayan pantai.

“Selain nelayan kecil, kita juga menasihatkan nelayan laut dalam supaya tidak mengganggu mamalia itu sekiranya terserempak kerana ia boleh menyebabkannya bertindak agresif,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas kewujudan paus yang dianggarkan seberat lima tan itu, Mohd Tamimi berkata, spesies itu tidak ada di perairan negara ini dan berbahaya kerana sifat pembunuhnya sangat tinggi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Zawawi Ali berkata, paus itu jarang ditemui di perairan Asia sebaliknya ia banyak dan membiak di Amerika Utara.

Menurutnya, paus itu bergerak dalam kumpulan tetapi ia mungkin sesat kerana mengikut makanan seperti burung laut dan akan kembali ke tempat asalnya serta hidup dalam kumpulan.

“Paus itu termasuk dalam senarai spesies terancam dan jika ada yang menemuinya, kita meminta kerjasama untuk mengambil gambar dan memaklumkan kepada Jabatan Perikanan berhampiran,” katanya.

Semalam, dilaporkan pasangan ikan paus dikesan kira-kira 12 tengah hari oleh petugas pelantar terbabit.

Paus itu dikatakan berenang pada kedalaman air pada kedalaman antara 76 hingga 80 meter dan menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan migrasi.

Berita berkaitan

Paus pembunuh muncul di perairan Terengganu

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 8:20pm
d