mutakhir

Polis sahkan anak Eizlan terbabit kemalangan

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

POLIS mengesahkan anak pelakon terkenal, Datuk Seri Eizlan Yusof terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, pada 11 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, kenyataannya kepada pengamal media pada hari kejadian menimbulkan kekeliruan disebabkan hasil siasatan awal diterima.

Beliau berkata, kenyataan awal dibuat itu bagi menjawab pertanyaan pihak media dan siasatan pada ketika itu belum selesai.

“Waktu itu, polis masih dalam proses mengambil keterangan daripada saksi terbabit dan saksi kemalangan.

“Namun, selepas siasatan lengkap, polis mendapati seorang kanak-kanak bernama Zareef Idris Yusof, 9, telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam yang kemudiannya dikenal pasti sebagai anak pelakon terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Selasa lalu, portal berita Harian Metro melaporkan Eizlan atau nama sebenar Idris Md Yusof, 48, meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat permohonan maaf terbuka berhubung penafian kemalangan jalan raya membabitkan anak keduanya itu.

Tempoh permohonan maaf itu diberikan sehingga hujung bulan ini dan jika tiada sebarang maklum balas pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.

Eizlan berkata, permohonan maaf itu bagi membersihkan nama Zareef berikutan kenyataan pihak polis yang menafikan anaknya terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Dalam pada itu, Lim berkata, polis sentiasa menjalankan setiap siasatan secara teliti dan telus mengikut prosedur siasatan ditetapkan.

“Sehubungan itu kertas siasatan sedang disiapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dalam masa terdekat,” katanya.

Berita berkaitan

'Eizlan Yusof minta polis mohon maaf'

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 11:43pm
d