mutakhir

Murid cedera dipukul ibu rakan sekelas

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

POLIS mengesahkan ada menerima laporan dan menjalankan siasatan berkaitan kejadian murid tahun lima sebuah sekolah di Cheras cedera di hidung serta tangan selepas dipukul ibu rakan sekelasnya pada 3 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihaknya masih menunggu laporan perubatan mangsa bagi melengkapkan kertas siasatan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Bapa mangsa mendakwa pada mulanya berlaku salah faham antara murid perempuan itu bersama rakan sekelasnya.

“Perselisihan faham mereka itu menyebabkan ibu rakannya itu datang ke sekolah dan memukul mangsa,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku dalam kelas selepas waktu persekolahan dan menyebabkan mangsa cedera di hidung dan tangan.

Katanya, bapa mangsa membawa anaknya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis.

"Bertindak atas laporan, polis menahan seorang wanita berusia 45 tahun kira-kira 1 pagi pada 7 Julai lalu.

“Suspek direman selama dua hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 12:26am
d