mutakhir

Berat sungguh dugaan ini...

Oleh Redzuan Muharam

HILANG dua orang tersayang dalam masa 24 jam bukan sesuatu yang mudah dilalui tetapi Salmah Mohamad, 65, terpaksa menerima hakikatnya walaupun berat untuknya.

”Dalam tempoh 24 jam, saya hilang dua insan tersayang. Memang sedih tetapi saya reda dengan pemergian mereka,” katanya yang tinggal di Kulim, Kedah.

Suami Salmah, Mohamad Ali Awang, 71, meninggal dunia pada Isnin lalu kerana mengidap darah tinggi dan lumpuh, manakala anak tunggalnya, Harul Shahrin, 39, atau dikenali sebagai Yon, bekas jurukamera Radio Televisen Malaysia (RTM) pula menghembuskan nafas terakhirnya disebabkan penyakit yang sama pada Selasa.

Yon yang lumpuh sebelah kanan badan sejak 2016 meninggalkan seorang balu, Hafizoh Aziz, 37, dan dua anak, Nur Qhairina Marisa, 4, dan Nur Qistina Maisarah, 10.

Berkongsi perasaannya, Salmah berkata, berat untuknya menerima pemergian suami dan anak tercinta dan dia mengakui mengakui hilang tempat mengadu walaupun masih mempunyai menantu (Hafizoh) dan dua cucu yang tinggal bersamanya.

“Sejak suami terlantar kerana lumpuh pada Mei tahun lalu, suami tidak banyak bercakap tetapi saya yang menjaga makan minum, selain memandikannya begitu juga dengan Yon.

“Saya tidak berseorangan sebaliknya dibantu adik bongsu, Nor Rafiza dan menantu.

“Saya harapkan Yon dapat menjaga saya memandangkan dia satu-satunya zuriat yang ada tetapi dia pula `pergi’ dulu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Salmah berkata, selain kehilangan suami dan anak, dia turut diduga dengan masalah penglihatan, buah pinggang dan ketumbuhan dalam perut.

“Buah pinggang saya perlu menjalani dialisis, manakala mata sebelah kiri mengalami masalah katarak dan akan menjalani pembedahan pada November nanti.

“Mereka (suami dan anak) tahu mengenainya dan saya agak menyesal berkongsi perkara itu terutama kepada Yon kerana nampak dia risau dan sedih dengan keadaan saya.

”Kini tinggal kenangan dan hanya menantu, adik dan cucu saja yang menjadi tempat saya mengadu nasib,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 1:23am
d