mutakhir

Rampas rokok seludup RM300,000

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

KUANTAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 berjaya mematahkan cubaan mengedar 3,191 karton rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM300,000 dalam dua serbuan berasingan di Kuala Rompin, Rompin dekat sini, kelmarin.

Dalam serbuan dan rampasan yang dibuat jam 9 malam, beberapa pegawai dan anggota Polis Marin melakukan pemantauan dan risikan di kawasan Kampung Tanjung Gemok, Kuala Rompin, Rompin, sebelum melihat kehadiran van yang memunggah barang.

Komander PPM Wilayah 3, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, menyedari kehadiran pihaknya semua lelaki terbabit melarikan diri sebelum polis menyita van terbabit.

“Pemeriksaan di dalam van dan kawasan sekitar menemui beberapa kotak yang dibalut plastik lut sinar dan dalam semua kotak itu berisi 2940 karton rokok dipercayai rokok seludup.

“Semua rokok yang dirampas dianggarkan berjumlah RM278,570 dibawa ke pejabat PPM Wilayah 3 di Tanjung Gemok, Rompin untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Terdahulu katanya, PPM turut melakukan serbuan dan tangkapan ke atas seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun di Kampung Janglau, Kuala Rompin, Rompin pada jam 5 Petang.

Katanya, pemeriksaan dijalankan menemui beberapa kotak dan plastik merah yang berisi rokok seludup di rumah suspek.

“Sebanyak 251 karton rokok dianggarkan bernilai RM22,674 dirampas.

“Suspek ditahan untuk membantu siasatan sama ada terbabit individu lain dalam kegiatan penjualan rokok seludup ini. Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 5:35am
d