mutakhir

Pemandu maut kereta terbabas, terbalik

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LELAKI maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terbalik dalam kemalangan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Mangsa G Arulkumar, 23, memandu Honda Accord dari arah Jalan Syed Putra ke Pusat Bandar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan 4.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang bergerak dari arah Lebuhraya Persekutuan hilang kawalan dan melanggar pembahagi kanan jalan.

“Akibat pelanggaran itu kereta dinaiki mangsa terbabas sebelum terbalik ke bahu kiri jalan.

“Mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Zulkefly berkata, mangsa berasal dari Keramat Wangsa dan pekerja swasta di ibu kota.

“Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 9:09am
d