mutakhir

10 tahun hadapi banjir

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SEPULUH rumah terjejas dalam banjir kilat di Kampung Gelam, Kubang Pasu malam tadi.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada saluran longkang yang tidak sesuai untuk menyalirkan air hujan apabila kedudukan jalan utama di situ lebih tinggi dari rumah penduduk.

Penduduk Nazeri Mohd Zain, 58, berkata, setiap kali hujan lebat antara 30 hingga 40 minit, rumahnya dilimpahi air sehingga paras betis.

“Rumah saya paling tepi dengan jalan utama iaitu Batu 13 1/4 Jalan Kodiang.

“Malam tadi selepas pulang ke rumah jam 12.30 tengah malam, saya tak tidur kerana sudah menjangka air masuk ke rumah.

“Pada 1.10 pagi air melimpah dan naik hingga ke paras betis, saya terpaksa tunggu sehingga hujan berhenti dan air surut hampir dua jam,” katanya.

Nazeri berkata, bagi memastikan air longkang tidak terlalu cepat masuk ke rumah, dia terpaksa membina tembok di hadapan pintu kira-kira tiga tahun lalu.

“Saya sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab, namun tiada tindakan diambil, mereka hanya datang melihat longkang dan kemudian balik.

“Longkang utama sepatutnya dibesarkan tapi masih tiada tindakan, penduduk kampung terpaksa menanggung kerugian dan kerah tenaga untuk bersihkan rumah,” katanya.

Sementara itu, isteri Nazeri, Siti Halijah Tajuddin, 59, berkata, kejadian itu sudah lebih 10 tahun membelenggu penduduk dan setiap tahun rumah mereka dinaiki air lebih tiga kali.

Katanya, kejadian terakhir berlaku hujung Ramadan lalu ketika waktu berbuka sehingga memaksa keluarganya berbuka puasa dalam air.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 10:43am
d