mutakhir

45 bungkusan daun ketum dirampas

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

LELAKI bersama 225 kilogram (kg) daun ketum yang disimpan dalam kereta dipandunya di tepi jalan Kampung Sungai Rubana, Teluk Intan ditahan polis semalam.

Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan pada 3.15 petang selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, hasil pemeriksaan lanjut pada kenderaan suspek menemui sejumlah bungkusan plastik hitam mengandungi bahan dipercayai daun ketum.

“Polis menemui 20 bungkusan plastik hitam itu dengan anggaran berat 100 kg di tempat duduk penumpang belakang dan 25 bungkusan lagi 125 kg dalam bonet kereta,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, daun ketum yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM2,250 dan polis turut menyita kereta milik suspek dengan nilai rampasan keseluruhan RM12,250.

“Daun ketum yang dirampas itu dipercayai untuk diedarkan dan semakan mendapati suspek ada satu rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah.

“Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati lelaki itu negatif dadah dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 11:09am
d