mutakhir

Amuk bawa kapak

Oleh Mohd Sabran Md Sani

LELAKI berusia 34 tahun yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol ditahan selepas mengamuk dengan bersenjatakan kapak dalam kejadian di sebuah restoran di Mutiara Rini, Johor Bahru malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, tindakan menahan suspek dilakukan selepas dia mengganggu ketenteraman awam di kawasan itu pada 11.50 malam.

Katanya, sepasukan anggota kereta peronda polis (MPV) dikejarkan ke lokasi sejurus mendapat maklumat awam berkaitan insiden di lokasi awam itu.

“Suspek didakwa memukul lelaki yang tidak diketahui status kewarganegaraan di kawasan itu sebelum mangsa dibantu orang awam,” katanya.

Beliau berkata, sepasukan MPV yang menerima panggilan berhubung kejadian itu menahan suspek pada 11.58 malam tadi.

“Suspek diserahkan seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah restoran di Taman Mutiara Rini, Skudai,” katanya.

Berikutan itu ujian saringan air kencing akan dilakukan terhadap suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Terdahulu tular dua video pendek berdurasi 16 dan 52 saat dikongsikan menerusi laman sosial Facebook (FB).

Berdasarkan terjemahan tulisan dalam bahasa Mandarin itu, lelaki bersenjatakan kapak mengamuk di sebuah restoran di Mutiata Rini.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 12:17pm
d