mutakhir

Wang RM50 juta milik bapa Jho Low dilucutkan

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan untuk melucutkan hak terhadap wang hampir RM50 juta yang dirampas daripada tujuh akaun milik Tan Sri Larry Low Hock Peng iaitu bapa ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas tiada pihak ketiga hadir bagi memberikan sebab berhubung mengapa harta itu tidak boleh dilucutkan hak kepada kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Aaron Chelliah ketika kes disebut semula di sini.

Beliau berkata, notis lucut hak itu sudah diwartakan 17 Jun lalu dan sehingga hari ini tiada siapa hadir.

“Tujuh akaun ini adalah daripada bank RHB dan Maybank Berhad. Terdapat empat akaun di RHB yang masing masing berjumlah RM20,784,952.56; RM300,000; RM500,000 dan RM20 juta termasuk faedah.

“Bagi tiga akaun Maybank masing masing berjumlah RM6,613,970.78; RM462,618.38 dan RM318,021.95 termasuk faedah,” katanya.

Beliau berkata, semua wang itu adalah daripada akaun simpanan tetap dan semasa yang dirampas kerajaan pada Disember 2018 dan 31 Januari 2019.

Oleh itu mahkamah memerintahkan wang berjumlah RM48,979,500.67 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Hock Peng masih gagal dikesan sehingga hari ini dan waran tangkap sudah dikeluarkan terhadapnya.

Pendakwaan memfailkan permohonan itu pada 29 Mac lalu untuk melucut hak harta itu dengan alasan baki wang akaun milik Low itu berpunca daripada perolehan salah melalui syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 12:39pm
d