mutakhir

Potong gaji RM10 sebulan

Oleh Mohamad Hussin

GURU Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Jengka 20, Pahang, tidak dapat menahan sebak apabila terpilih menjadi tetamu Allah bersama isteri sempena musim haji 1440H/2019M.

Mohd Anuar Ahmad, 55, dan isteri, Siti Mariam Darus, 50, bersyukur diberi kesempatan menyahut panggilan Ilahi.

Menurutnya, dia dan isteri mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2008.

“Dulu gaji guru tak besar seperti hari ini, saya buat potongan gaji RM10 sebulan ke dalam akaun TH.

“Selain itu, hasil pajakan kebun getah seluas empat hektar peninggalan arwah ayah dapat juga menampung perbelanjaan ke Makkah.

“Alhamdulillah, syukur dengan rezeki Allah SWT kerana saya dan isteri dapat ke sana,” katanya ditemui di Kompleks TH, Sepang hari ini.

Katanya, dia dan isteri menerima surat tawaran TH Mei lalu dan terus membuat keputusan menunaikan haji tahun ini.

“Saya mula menyimpan duit sedikit demi sedikit dalam akaun TH kerana tidak mahu simpanan tidak cukup pada saat akhir.

“Kami membuat persediaan awal mengikuti kursus haji sejak tiga tahun lalu sebagai persiapan menunaikan rukun Islam kelima,” katanya.

Bapa tiga anak itu berkata, dia dan isteri sentiasa berdoa semoga dipermudahkan segala urusan di sana kelak.

Pasangan terbabit antara 483 jemaah yang terpilih menjadi tetamu Allah SWT.

Jemaah berkenaan berlepas menerusi penerbangan KT10 (XY5662) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah 2.30 petang hari ini dan dijangka tiba 6 petang (waktu Arab Saudi).

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 3:24pm
d