mutakhir

Jeritan selamatkan pelajar tahfiz, mudir

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

SEMBILAN pelajar tahfiz terselamat daripada kebakaran di Madrasah Tahfiz Al-Quran Ibnu Talib di Kilometer 16, Kampung Pulai, Merlimau, hari ini.

Mudirnya, Muhammad Hamid, 31, berkata, kejadian 11.20 pagi itu disedari penduduk tinggal bersebelahan madrasah berkenaan yang ternampak satu daripada bilik di madrasah terbakar.

“Ketika itu saya serta sembilan pelajar berada di bilik lain menghabiskan waktu rehat bermula 11 pagi hingga 1 petang sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan maklumkan satu daripda lima bilik di madrasah ini sedang terbakar.

“Mujurlah semua pelajar lelaki berusia sembilan hingga 14 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kebakaran hanya membabitkan stor menyimpan keperluan bilik tidur seperti tilam, bantal, selimut dan kipas,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Melaka, hari ini.

Muhammad berkata, walaupun pusat tahfiz yang baru dibuka pada Januari lalu itu mengalami sedikit kerosakan, beliau bersyukur kerana kejadian tidak menjejaskan keselamatan pelajar.

“Alhamdulillah insiden ini tidak memudaratkan pelajar dan sesi pengajian juga dapat diteruskan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Soon Wee Kiang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.27 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Padang Temu bersama 11 anggota bergegas ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan bilik berkeluasan 10 x 10 kaki yang terbakar keseluruhannya,” katanya sambil menambah punca kebakaran masih dalam siasatan forensik.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 3:48pm
d