mutakhir

Didenda miliki, jual minyak pelincir tiruan

Oleh Siraj Mohd Zaini

PEMILIK bengkel motosikal dihukum denda RM45,399 atas empat pertuduhan memiliki serta menjual minyak pelincir tiruan.

Hukuman diputuskan Hakim Rofiah Mohamad selepas tertuduh, Tee Kai Hong, 39, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, hari ini.

Tiga pekerjanya iaitu Hossain Asique, 31, Mofijur Rahman, 25, yang juga warganegara Bangladesh serta M Shanmugam turut mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan dan dihukum denda.

Rofiah memutuskan denda ke atas Hossain sebanyak RM17,124, Mofijur (RM5,312) dan Shanmugam (RM6,909).

Mahkamah menetapkan hukuman penjara antara sembilan bulan hingga 46 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Tee dan Hossain Asique didakwa atas dua pertuduhan secara bersama, mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan pembekalan suatu perihal dagangan palsu iaitu minyak pelincir jenama Castrol sebanyak 744 botol dan 4,716 botol jenama Shell.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah gudang tidak bernombor di Jalan Rasah, Pandamaran, Pelabuhan Klang pada 10.50 pagi, 15 Mac 2019.

Tee turut berdepan dua lagi pertuduhan bersama Mofijur dan Shanmugam yang juga mekanik, memiliki minyak pelincir tiruan masing-masing jenama Castrol Limited sebanyak 337 botol dan 646 botol jenama Shell Brands.

Kesalahan itu dilakukan mereka di sebuah bengkel motosikal di Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang pada 10.40 pagi, 15 Mac 2018.

Bagi semua pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2)(B) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Nurul Addha Kasmon memohon hukuman setimpal bagi melindungi hak pengguna dan cap dagang dalam jenayah barangan tiruan.

“Minyak pelincir motosikal tiruan ini boleh memberikan kesan terhadap pengguna sekiranya dijual secara berleluasa.

“Walaupun tiada lagi laporan kesan minyak pelincir itu namun, ini bagi melindungi hak pengguna dan menggunakan cap dagang tanpa kelulusan adalah salah,” katanya.

Sementara itu, Peguam Loh Choy Luey yang mewakili semua tertuduh memohon hukuman diringankan susulan kesalahan pertama dan mereka kini insaf dan lebih prihatin terhadap penggunaan cap dagang.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 4:27pm
d