mutakhir

Tiga 'Superman' kena cekup

Oleh Muhammad Apendy Issahak

TIGA penunggang motosikal termasuk dua remaja diberkas selepas dipercayai terbabit dalam lumba haram dan menunggang secara berbahaya di Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, Ipoh, hari ini.

Ketiga-tiga ‘mat rempit’ itu terdahulu dikesan kira-kira 2 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang menjalankan Op Samseng Jalanan di lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, polis bertindak mengekori ketiga-tiga pemilik motosikal berkenaan yang didapati sedang berlumba dengan laju, saling potong-memotong di antara satu sama lain dan dalam keadaan berbahaya.

“Kumpulan motosikal terbabit dikesan sedang berlumba menduga kelajuan dari arah Tol Ipoh Selatan menghala ke susur keluar Tambun dengan melakukan pelbagai aksi berbahaya.

“Mereka melakukan aksi ‘zig zag’ dalam kelajuan tinggi, potong-memotong antara satu sama lain dengan cara bahaya serta membongkokkan badan separas tempat duduk selain membuat aksi ‘Superman’,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, polis berjaya menahan ketiga-tiga penunggang motosikal bersama motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mereka dan dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Ipoh untuk tindakan lanjut.

“Mereka yang ditahan adalah pembantu kedai berusia 18 tahun dan jurujual aksesori telefon bimbit juga berusia 18 tahun serta seorang pekerja kilang berusia 24 tahun.

“Ketiga-tiga mereka kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 5:37pm
d