mutakhir

Bila akan berakhir?

Oleh Nurul Amanina Suhaini

“BILA akan berakhir?” Demikian kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Intissar Nazihah Mohd Nazri, 16, berhubung insiden pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang sehingga menjejaskan puluhan pelajar di beberapa sekolah sekitar kawasan berkenaan.

Difahamkan, sehingga jam 2 petang semalam, seramai 39 pelajar membabitkan lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, SK Kopok, SK Kota Masai, SK Pasir Gudang 4 dan SMK Tanjung Puteri Resort yang terjejas dengan insiden berkenaan.

Intissar Nazihah berkata, dia yang sebelum ini pernah terkesan dengan kes pencemaran toksik di Sungai Kim Kim mengakui masih trauma, selain tidak menjangka akan berlaku kejadian seumpama baru-baru ini.

“Lama lagi ke isu ini akan selesai? Setiap hari saya ke sekolah tanpa mengetahui adakah masih selamat untuk menjalani sesi pembelajaran bersama rakan-rakan saya di kelas.

“Saya yang pernah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) ketika insiden itu berlaku sedikit pun tidak berasa seronok melihat orang sebaya saya hanya terbaring dan muntah di katil hospital.

“Rasa takut itu hadir bila mana melihat kelibat ambulans, cikgu yang berlari di perkarangan pintu sekolah dan keadaan sesak di luar sekolah yang dipenuhi dengan pelajar serta ibu bapa,” katanya.

Dia meluahkan perkara itu ketika ditemui pada Program Sesi Bicara MCA bersama Penduduk Pasir Gudang Yang Terjejas Dengan Insiden Pencemaran Udara di TS Hotel Taman Scientex Pasir Gudang, Pasir Gudang, hari ini.

Sementara itu, pelajar SMK Tanjung Puteri Resort, Mohd Sharul Aiman Jamaluddin, 14, berkata sehingga kini, dia tidak mendapat arahan daripada doktor bagi membuat rawatan susulan selepas dipercayai terjejas dengan insiden pencemaran udara.

“Melihat kejadian ini kembali berulang, ibu bapa saya hanya meyakinkan saya yang semuanya akan kembali normal dan saya perlu mempercayai yang pihak bertanggungjawab menjalankan kerja mereka.

“Saya mahu sihat. Saya tidak mahu sakit. Tolong bantu kami supaya kawan-kawan saya akan cepat sihat dan boleh belajar di sekolah seperti biasa,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 7:25pm
d