mutakhir

Pembalak diarah pulihkan Air Terjun Lasir

Oleh Baharom Bakar

KONTRAKTOR pembalakan yang menyebabkan punca berlakunya kekeruhan air di kawasan Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir di Kuala Berang diarahkan menghentikan aktiviti mereka serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata, kontraktor pembalakan yang diberi lesen oleh Jabatan Perhutanan itu diarah melaksanakan kerja pemulihan menggunakan pelbagai kaedah mitigasi bersesuaian bagi mengatasi masalah hakisan tanah yang menyebabkan air terjun berkenaan keruh dan berkeladak.

Menurutnya, siasatan segera yang dilakukan pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Jabatan Perhutanan mendapati kekeruhan air sungai dan kawasan Air Terjun Lasir berpunca daripada aktiviti pembinaan jalan hutan dan laluan lori balak serta projek pembinaan jambatan di hutan berhampiran.

Ariffin berkata, kontraktor diberi kelulusan dan lesen untuk melakukan aktiviti pembalakan membabitkan kawasan seluas kira-kira 229 hektar di kawasan hulu Sungai Lasir.

“Siasatan yang dilakukan mendapati kontraktor atau pelesen pembalakan itu gagal mematuhi sepenuhnya spesifikasi pembinaan jambatan berdasarkan Garis Panduan Jalan Hutan 2010 (Pindaan 2013) seperti ditetapkan Jabatan Perhutanan negeri.

“Lebihan tanah yang jatuh ke dalam sungai akibat kerja pembinaan jalan dan jambatan untuk aktiviti pembalakan itu menjadi punca Air Terjun Lasir dan sungai di kawasan berkenaan keruh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Alor Limbat berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan di media sosial mengenai aktiviti pembalakan di hutan berhampiran menyebabkan Air Terjun Lasir keruh dan berkeladak sekali gus tidak sesuai untuk dikunjungi pelancong.

Air Terjun Lasir adalah antara 14 kawasan air terjun semula jadi terdapat di Tasik Kenyir dan menjadi tumpuan pelancong daripada dalam dan luar negara.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah mengarahkan KETENGAH menutup sementara kawasan Air Terjun Lasir kepada semua pengunjung sehingga keadaan air kembali pulih dan kerajaan negeri berpuas hati kerja pemulihan air oleh kontraktor pembalakan itu.

“Kontraktor pembalakan itu melakukan kerja memulih kekeruhan air dan diminta memastikan impak kekeruhan air sungai dapat diminimakan,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 7:45pm
d