mutakhir

Tidak berterusan bertelagah - PM

Oleh Hasbi Sidek

SEMUA pimpinan parti komponen Pakatan Harapan (PH) digesa supaya tidak berterusan bertelagah sesama sendiri sehingga leka dan kehilangan kuasa.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pimpinan dalam PH perlu komited dan tidak hilang fokus dengan perkara sampingan yang tiada nilai kepada pembangunan dan hala tuju negara.

“Kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada kita adalah untuk memperbaiki apa yang rosak dan memperbetulkan apa yang salah, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

“Kita juga perlu tanya kepada diri kita apakah kita akan terus mendapat mandat rakyat jika mereka melihat kita terus bertelagah kerana berebut kuasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Port Dickson, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, tugas pemimpin dalam PH tidak terhenti setiap kali pilihan raya umum diadakan.

“Apabila kita merencanakan masa depan negara, ia harus berupaya melakar satu hala tuju melangkaui jangka masa yang panjang.

“Kerana itu apabila kita sedar Wawasan 2020 sudah agak tersasar, kita mula memikirkan mengenai wawasan baharu yang boleh membawa negara dan rakyat kepada satu tahap kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Tambah beliau, bagi mencapai kemakmuran bersama dan agenda lain untuk negara, keutuhan gabungan PH menjadi kunci kejayaan.

Sementara itu, Anwar berharap setiap masalah dalam PKR diselesaikan segera dalam memastikan negara dapat diuruskan dengan baik.

Menurutnya, persefahaman antara parti dalam gabungan PH juga perlu kuat dan sangat penting.

“Dengan dokongan kita terhadap Tun Mahathir yang saya sudah kenal lama dan gaduh pun lama, saya tahu satu perkara yang tidak boleh dipertikai, Tun sangat suka dengan negara ini.

“Semangat untuk negara terlalu kuat sebab itu dia (Tun Mahathir) mahu mengangkat negara ini.

“Kita dalam PKR ada sedikit-sebanyak masalah perlu dileraikan segera sebab kita ada tanggungjawab (bangunkan negara),” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 10:53pm
d