mutakhir

`Terima kasih mendoakan kami'

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

“ALHAMDULILLAH...terima kasih kerana mendoakan kami dan hari ini kami selamat tiba di Malaysia,” kata selebriti Heliza Helmi yang juga sukarelawan Misi Bantuan Kemanusiaan MAPIM Ke Gaza selepas tiba jam 10.40 malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Heliza bersama tujuh sukarelawan lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby ke Gaza sejak 8 Julai lalu sebelum ini dilaporkan menghadapi kesukaran masuk ke sempadan Rafah, Mesir untuk pulang ke tanah air

Dia berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang bersama menunaikan solat hajat serta mendoakan sukarelawan terbabit dapat pulang ke tanah air.

“Sepanjang terkandas di kawasan berkenaan, pelbagai kejadian dapat dilihat dan saya tengok sendiri di mana ada wanita menunggu lama untuk ke sempadan bagi mendapatkan rawatan dan disebabkan terlalu lama, dia sesak nafas dan akhirnya baru diberikan perhatian.

“Selain itu, ada kanak-kanak yang kemerah-merahan kulit disebabkan terlalu menunggu lama dalam keadaan panas ditambah tiada makanan dan minuman.

“Kami cuba mengeluarkan biskut disimpan dalam beg dan mereka memandang kami kerana keadaan sangat terdesak di tempat itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Sani berkata, pihaknya mengambil masa hampir 40 jam menunggu giliran memasuki sempadan Rafah.

Menurutnya, cubaan melepasi sempadan dalam tempoh dua hari itu sangat memenatkan.

Katanya, tempoh lama berkenaan dihadapi semua sukarelawan terbabit termasuk penduduk Gaza yang mahu ke Mesir, seolah-olah proses pengurusan sengaja dilambatkan.

“Dalam tempoh dua hari itu, pelbagai suasana menyedihkan dapat dilihat termasuk anak kecil yang juga penduduk Gaza, Palestin yang terpaksa tidur di atas lantai.

“Ia ditambah dengan cuaca pada waktu siang yang panas, tiada pendingin hawa, tiada kedai menjual makanan selain kemudahan tandas juga tidak sempurna.

“Suasana menunggu lama itu adalah keadaan yang perlu dihadapi termasuk penduduk Gaza sendiri yang ingin memasuki Mesir bagi mendapatkan rawatan dan sebagainya,” katanya menceritakan pengalaman terkandas di kawasan itu kepada media ketika ditemui di KLIA, hari ini.

Selain beliau dan Heliza, misi berkenaan turut disertai Setiausaha Politik Menteri Luar Mohd Nazri Noh, adik Heliza, Hazwani selain suami pelakon Yatt Hamzah, Mohammad Zulfadhli Khiruddin.

Sebelum ini, dilaporkan Yatt meluahkan kesedihan apabila suaminya, Mohammad Zulfadhli, 27, dan beberapa rakan artis terkandas di Rafah.

Menerusi Instagram miliknya, Yatt berkata, suaminya yang juga Pengarah Media MAPIM, Heliza dan Hazwani gagal keluar dari kawasan berkenaan.

Dr Ahmad Sani berkata, penentangan terhadap kezaliman Israel tidak boleh bersifat bermusim sebaliknya tekanan kepada rejim Zionis itu perlu secara konsisten ke arah membebaskan Palestin daripada cengkaman mereka.

Menurutnya, tentangan perlu dilakukan secara berterusan kerana ia mencerminkan tahap betapa serius Malaysia menentang sekeras-kerasnya perbuatan zalim rejim Zionis itu.

Berita berkaitan

'Doakan suami dan rakan saya selamat' - Yatt Hamzah

Disiarkan pada: July 20, 2019 @ 2:19am
d