mutakhir

Pilih dalam gelap

Oleh Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Sebahagian besar peniaga di Pasar Besar Seremban di sini, menanggung kerugian ratusan ringgit setiap hari susulan bekalan elektrik kerap terganggu sejak minggu lalu.

Bukan saja pelanggan berkurangan akibat suasana gelap dan suram, malah peniaga tidak dapat menyimpan stok daging di dalam peti sejuk menyebabkan bahan mentah itu rosak dalam masa singkat.

Peniaga daging kambing, Mohd Harizan Abd Rahman, 50, berkata, kejadian itu membabitkan gerai menjual daging, ayam dan sebahagian kedai runcit.

Katanya, bekalan elektrik pulih Jumaat minggu lalu, namun berulang beberapa kali hingga semalam.

“Sejak minggu lalu, lebih 50 peniaga runcit dan penjual daging serta ayam terjejas apabila bekalan elektrik terputus.

“Peniaga menggunakan lilin bagi membantu pelanggan yang datang membeli barangan kerana keadaan gelap di dalam premis pasar ini,” katanya ditemui di sini, semalam.

Peniaga ayam yang mahu dikenali sebagai Abdul Aziz, 55, berkata, dia kerugian RM300 hingga RM400 sehari kerana peti sejuk beku tidak dapat menyimpan lebihan ayam tidak terjual.

“Masalah ini tidak pernah berlaku sebelum ini, namun sejak minggu lalu bekalan elektrik kerap terputus,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Ho Weng Wah berkata, pihaknya merujuk perkara itu kepada juruelektrik MPS dan mengesan penggunaan elektrik yang terlalu tinggi punca masalah berkenaan.

Disiarkan pada: July 20, 2019 @ 5:35am
d