mutakhir

Nak lari, enjin bot rosak pula..

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

CUBAAN 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk keluar dari negara ini melalui laluan haram tidak berhasil selepas semua mereka termasuk seorang kanak-kanak lelaki ditahan di sebuah bot di beting Bagan Sungai Tiang, Rungkup, Bagan Datuk, semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.30 petang, bot ‘barter trade’ tanpa nombor dikendalikan seorang tekong dan seorang awak-awak tersangkut di beting dan mengalami kerosakan enjin.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bot ronda menahan bot berkenaan di kedudukan 0.7 batu nautika (1.2 kilometer) dari Bagan Sungai Tiang hasil maklumat awam.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan mendapati 12 lelaki termasuk tekong dan awak-awak bersama tujuh wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berada dalam bot berkenaan.

“Semua warga asing berusia antara dua hingga 45 tahun dan ketika ditahan, tekong serta awak-awak sedang membaiki enjin bot yang rosak.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati hanya 12 individu memiliki pasport, namun sudah tamat tempoh manakala selebihnya pula tiada sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosman berkata, semua warga asing ditahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, semua PATI bersama bot kemudian dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, Sitiawan untuk tindakan lanjut.

“PPM Perak akan bertindak tegas terhadap aktiviti penyeludupan berlaku di perairan negeri ini dan mengalu-alukan penyaluran maklumat sebarang kegiatan jenayah di laut supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2019 @ 4:25pm
d