mutakhir

Nyaris rentung dek sepuntung rokok

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

GARA-GARA tertidur ketika menghisap rokok, seorang buruh nyaris maut apabila bara rokok menyambar tilam sebelum terbakar di Pangsapuri Seri Sena, Kangar, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari, mangsa, Khairul Arnizar Embi, 35 dikatakan baru pulang dari tempat kerjanya sebelum tertidur di ruang tamu.

“Sebelum tertidur, saya menyalakan sebatang rokok tetapi kerana kepenatan saya tidak sedar rokok itu terlepas daripada tangan.

“Saya hanya sedar apabila rumah dipenuhi asap hitam dan bertindak keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Khairul, dirinya masih trauma kerana tidak menyangka kebakaran itu dipercayai berpunca akibat sebatang rokok.

“Segalanya berlaku sekelip mata sahaja dan tidak sempat menyelamatkan barangan dalam rumah kerana hanya fikirkan keselamatan diri ketika itu.

“Saya pun tidak tahu nak beritahu berapa jumlah kerugian tetapi bersyukur kerana api tidak merebak ke rumah jiran lain,” katanya.

Khairul berkata, dia kini menumpang di rumah ibu saudaranya yang menetap di blok sama.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Penguasa Kanan Bomba 2 Mohd Khairull Rizall Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.58 tengah hari.

“Seramai 10 pegawai dan anggota dengan kekuatan tiga jentera bomba dikerah ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira 15 minit dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2019 @ 5:01pm
d