mutakhir

Ungkal yang istimewa

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

WALAUPUN Mr Ungkallicious tidak sempurna seperti kucing lain kerana mengalami kecacatan mata, pasangan suami isteri dari Alor Gajah, Melaka tidak malu membawa kucing itu ke khalayak umum.

Ini terbukti apabila si bulus yang diberi nama Mr Ungkalliciuous atau dipanggil sebagai Ungkal dan buta mata kanan dibawa pasangan Mohd Fizi Abdullah, 43, serta Rozita Haron, 43, menyertai pelbagai pertandingan sekali gus mencuri tumpuan peminat kucing.

Selain Mr Ungkalliciuous atau dalam bahasa Jawa bermaksud aktif dan degil, Mohd Fizi dan Rozita turut memelihara lima lagi kucing yang dikategorikan istimewa kerana mengalami kecacatan.

Mohd Fizi berkata, Ungkal adalah kucing jalanan yang ditemuinya kira-kira tujuh tahun lalu di Pasar Alor Gajah, Melaka.

“Ketika itu, mata Ungkal seakan terkeluar dan doktor bagi tahu pembedahan untuk membuang matanya perlu dilakukan supaya tidak menjadi parah.

“Alhamdullilah, Ungkal sihat dan normal seperti kucing lain dan kami memang selalu membawa dia menyertai mana-mana pertandingan dan pertunjukan.

“Ia bukan untuk kemenangan semata-mata tetapi kami mahu kucing istimewa seperti Ungkal ini diberi layanan sama seperti kucing lain,” katanya ketika ditemui di Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA Terengganu 2019 di Stadium Tertutup di Gong Badak di Kuala Nerus, hari ini.

Ketika ini, Mohd Fizi dan Rozita memelihara 87 ekor ekor kucing daripada pelbagai baka seperti Maine Coon dan British Shorthair termasuk baka tempatan dengan separuh daripadanya adalah kucing jalanan yang selamatkan mereka.

Sementara itu, keletah kucing yang lincah dan comel pada pertunjukan itu turut mencuri perhatian Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Pasangan diraja itu berkenan berangkat ke pertunjukan yang julung kali diadakan di negeri itu dan baginda berdua meluangkan masa hampir dua jam melihat sendiri kucing yang bertanding.

Turut berangkat, dua anakanda baginda, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Muhammad Mua’az.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan FaizahTuan Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk A Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman dan Pengarah Pelancongan Terengganu Ab Rasid Jusoh.

Sementara itu, Ab Rasid mengalu-alukan peminat kucing ke kejohanan yang julung kali diadakan di Terengganu.

“Kita juga dalam perbincangan dengan YB EXCO (Ariffin) dan Datuk SUK (A Rahman) sama ada untuk menjadikan pertunjukan ini sebagai acara tahunan atau sebaliknya,” katanya.

“Lebih 140 kucing terbaik daripada pelbagai baka di rantau ini berkampung untuk bersaing dalam empat kategori yang dipertandingkan.

Program anjuran kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Terengganu dan Asian Abyssinian Cat Club itu akan diadili 10 hakim dan juri antarabangsa dari China, Hong Kong, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat.

Disiarkan pada: July 20, 2019 @ 7:31pm
d