mutakhir

Menyantuni masyarakat Islam di Pulau Banggi

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

SANGGUP menempuh perjalanan jauh menaiki pelbagai jenis kenderaan untuk menyalurkan bantuan serta membina surau bagi penduduk miskin di pulau terpencil.

Itu antara misi terbaru pertubuhan Muslim Care Malaysia dalam mengembangkan dakwah Islam selain memastikan nasib masyarakat Islam luar bandar terbela.

Usaha itu dibuktikan Muslim Care Malaysia selepas mendirikan dua surau melalui Program Igniters: The Prismce Movement ‘19’ di Pulau Banggi, Kudat, Sabah.

Ketua misi yang juga Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, usaha menyalurkan bantuan itu bermula dengan perjalanan sukar sekitar 12 jam bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menuju ke Kudat, Sabah pada Sabtu lalu.

“Kami menaiki feri ke Pulau Banggi sebelum menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke pedalaman.

“Pulau berkepadatan 30,000 penduduk ini mempunyai penduduk Muslim sekitar 70 peratus. Namun begitu, pendedahan terhadap pendidikan agama Islam masih rendah.

“Sebagai contoh, Kampung Maligu yang mempunyai sekitar 20 keluarga majoritinya beragama Islam tetapi tiada sekolah agama untuk mendidik generasi muda,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan masyarakat di kampung itu kurang memahami berkenaan agama mereka sendiri.

“Melalui lawatan di tiga kampung iaitu Kampung Salangan, Maligu dan Tembising, pelbagai aktiviti dijalankan Muslim Care Malaysia antaranya sumbangan makanan, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi, motivasi kepada kanak-kanak dan lain-lain,” katanya.

“Program ini memberi manfaat kepada sekitar 250 penduduk semua kampung itu.

“Antara kejayaan lain program ini adalah dua surau berjaya dibina di Kampung Maligu dan Tambising. Pembinaan dua surau ini diharap mampu menjadi lokasi untuk masyarakat setempat mengadakan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini adalah tahun ketiga program sukarelawan ini dilaksanakan hasil jalinan kerjasama Muslim Care Malaysia, Muslim Care Europe dan Platform Siswa Malaysia (PRISM) yang kebiasaannya dijalankan pada cuti musim panas siswa yang melanjutkan pelajaran di Eropah.

Program lima hari empat malam ini membabitkan seramai 18 sukarelawan dari Muslim Care Malaysia dan 40 peserta dari Muslim Care Europe dan PRISM diketuai Muhammad Al Aswaad Mohd Nasir.

“Insya-Allah usaha sebegini akan terus dipergiatkan bagi membantu masyarakat Islam luar bandar,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2019 @ 8:17pm
d