mutakhir

'Politik kotor parti mesti diperangi' - Azmin

Oleh Idris Musa

“INI selari dengan ketegasan saya dari awal bahawa politik kotor dalaman parti mesti diperangi habis-habisan,” kata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merujuk kepada kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurutnya, beliau mengambil maklum pendirian Anwar yang menerima hasil siasatan diumumkan Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang mana beliau tidak terbabit dalam video intim tersebar baru-baru ini.

“Saya juga mengambil maklum ketetapan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pimpinan dan anggota parti yang terbabit dalam sebaran video ini,” katanya menerusi akaun Twitter, malam tadi.

Terdahulu, media melaporkan Anwar menerima baik kenyataan KPN bahawa hasil proses pengecaman wajah ke atas video intim yang tular baru-baru ini adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku dengan Mohamed Azmin seperti yang didakwa.

Anwar dipetik berkata, walaupun maklum bahawa siasatan masih diteruskan pihak polis tetapi setakat ini pihaknya gembira dengan hasil siasatan itu.

Kelmarin, Abdul Hamid mengesahkan kebarangkalian klip video itu sebagai tulen adalah tinggi berdasarkan analisis Cybersecurity Malaysia tetapi proses pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku dalam video terbabit dengan individu dimaksudkan.

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 12:21am
d