mutakhir

Kekang sebelum parah

Oleh Balqis Jazimah Zahari

KERAJAAN Perak beri keutamaan isu penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah untuk mengekang daripada menular di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, meskipun tiada laporan berhubung kes pelajar menghisap vape diterima di negeri ini, namun pihaknya tetap memandang serius isu berkenaan.

“Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan (pelajar menghisap dan membeli vape) lagi, tetapi sekiranya benar perkara itu berlaku ia adalah serius dan saya sendiri akan bawa berbincang dengan Pengarah Pendidikan negeri.

“Seperti yang kita sedia maklum, masalah disiplin dan merokok dalam kalangan pelajar sudah lama berlaku tetapi kita perlu melihat semula apa yang berlaku termasuk menyusun strategi memastikan ia tidak bertambah buruk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Perak di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh Kampus Hulu Kinta, Ipoh, hari ini.

Hadir sama Pengarah Penerangan negeri, Taib Ubah.

Abdul Aziz berkata, dengan adanya peraturan baharu seperti larangan merokok di restoran dan tempat awam sedikit sebanyak dapat mengawal, namun masalah disiplin pelajar khususnya berkaitan rokok masih perlu diambil perhatian.

“Kita perlu mengambil tindakan dengan meningkatkan pemantauan di sekolah dan mengambil langkah perlu bagi memastikan perkara ini (menghisap vape) tidak berlaku,” katanya

Semalam, Harian Metro mendedahkan terdapat kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah dikesan ketagih menghisap rokok elektronik atau vape.

Kewujudan pelbagai jenis vape bersaiz kecil antaranya berbentuk pen, jam tangan, pemetik api, pemacu pena hingga ada antaranya bersaiz sebesar kotak mancis antara punca vape menjadi kegilaan baru murid serta pelajar sekolah.

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 5:03pm
d