mutakhir

[UPDATE] Hajat bersalin di Kelantan

Oleh Mohd Azam Shah Yaakob dan Muhaamad Hafis Nawawi

‘TOLONG...sakit’. Itu jeritan terakhir wanita yang tersepit sebelum meninggal dunia selepas tangga separa siap rumah teres dua tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh, hari ini.

Wan Hasheliza Wan Ibrahim, 29, yang sarat hamil lapan bulan bersama suaminya, Shahril Apipie Mokhtar, 29, maut selepas tangga itu runtuh sebelum terkena renjatan elektrik.

Saksi kejadian, Mohd Haziq Haikal Jamri, 15, berkata sebelum kejadian, dia sempat membersihkan kawasan itu dengan mengalihkan kayu sebelum pulang ke kediamannya yang terletak di belakang rumah mangsa.

Katanya, tidak lama kemudian dia terdengar bunyi dentuman dan terus bergegas ke luar untuk melihat apa yang berlaku.

“Ketika itulah saya terdengar kakak menjerit meminta tolong dan memberitahu sakit.

“Suaminya pula ketika itu cuba menyelamatkan (kakak) sebelum jiran lain datang membantu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, Mohd Haziq berkata, keadaan kecoh tiba-tiba bertukar senyap dan mereka tidak bergerak serta kaku sebelum terlihat tangan jiran terkulai.

Sementara itu, ibu Haziq, Norazila Saad, 34, berkata pasangan terbabit menyewa di rumah itu sejak Disember lalu.

“Saya memang rapat dengan pasangan ini dan wanita terbabit hamil anak sulung mereka.

“Dia juga kelihatan gembira mengemas barang untuk pulang ke kampung di Kelantan menyambut Hari Raya Haji termasuk bersalin di sana,” katanya.

Norazila berkata, mangsa sempat memintanya memasak pulut berinti kelapa dan ikan masin semalam, kemungkinan mengidam.

“Sepatutnya dia menjamah petang ini, namun tidak kesampaian malah saya juga sudah siap memasak pulut itu.

“Sepanjang mengenali mereka, pasangan terbabit sangat baik dan tidak kedekut,” katanya.

Katanya, bahagian atas rumah itu baru tiga bulan diubahsuai pemiliknya.

Berita berkaitan

(UPDATE) Mangsa suami isteri ditemui berpelukan [METRO TV]

4 maut terkena renjatan elektrik

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 5:31pm
d